Peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja menjadi satu keyakinan bahkan penuh dengan contoh tauladan bagi umat Islam. Lebih2 lagi dizaman Sains dan Teknologi ini manusia lebih cepat menerima dan meyakinkan peristiwa ini dengan adanya segala kenderaan yang cepat seperti kapalterbang, roket dan jet, telah membuktikan akan kebenaran peristiwa Isra dan Mi’raj dari Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah ke Masjidil Aqsa di Baitul Mukaddis (Palestine) dengan hanya menggunakan masa yang sangat singkat sekali.

Pengertian Isra’ ialah perjalanan diwaktu malam. Yang dimaksudkan disini ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w yang telah diperjalankan oleh Allah s.w.t dari kota Mekah ke Baitul Mukaddis, yang jaraknya kira2 seribu batu dalam masa lebih kurang empat jam pergi dan balik.

Ini membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t, yang mana pada masa itu belum ada rekaan2 yang berkenaan dengan kenderaan2 yang laju dan cepat, hanya pada masa yang akhir2 ini sahaja baharu manusia mengenal segala kenderaan yang moden dan automatik, tetapi dengan berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi s.a.w yang mengendarai satu kenderaan yang luarbiasa ciptaan Allah s.w.t yang tidak ada tolok bandingnya sehingga hari ini. Dan sebelum ada satu pun tanggapan atau kenderaan yang dapat menyamai kenderaan Nabi Muhammad s.a.w.

Peristiwa yang bersejarah dalam Islam itu telah berlaku pada malam 27hb Rejab tahun 621 Masehi ( setahun sebelum Hijrah) sedang Nabi Muhammad s.a.w berbaring dirumah sepupunya Ummi Hani Binte Abu Talib. Pada waktu tengah malam yang sunyi tiba2 datanglah malaikat Jibril dan Mikail membawa Nabi Muhammad s.a.w ke telaga zam zam, disana telah dilakukan satu pembedahan ke atas dada Nabi s.a.w. Dibersihkan dari kotoran zahir dan batin dengan air zam zam. Dipenuhkan ke dalam hatinya Iman, Yakin, Hikmat dan Ilmu, iaitu satu kelengkapan bagi Nabi s.a.w yang hendak menembusi langit dan berjumpa dengan Allah s.w.t.

Ini adalah kali yang kedua Nabi s.a.w telah dibedah, kali yang pertama ialah semasa dalam jagaan Halimatus Sa’diah waktu umur Nabi s.a.w empat tahun. Ini bukanlah bererti hati Nabi s.a.w itu kotor tetapi adalah satu contoh bagi kita umat Islam, barangsiapa yang hendak mendampingi Allah berkehendakkan makam yang tinggi disisi Allah, maka syarat yang pertama sekali ialah dengan membersihkan hati dari sifat2 yang kotor sesudah memiliki ilmu pengetahuan, kerana hati itu adalah tempat perhatian Allah s.w.t. Setelah itu dihiasi dengan sifat2 yang terpuji yang telah diterangkan dalam kitab2 Tasauf.

Maka sesudah dibedah oleh Malaikat Jibril dengan tidak merasa apa2 kesakitan dirapatkan semula dengan tidak ada bekas atau kesannya. Setelah itu didatangkan satu kenderaan yang bernama Buraq iaitu satu binatang dari syurga yang luar biasa. Jika mendaki gunung kaki hadapannya pendek dan kaki belakangnya panjang. Jika menuruni gunung panjanglah kaki hadapannya dan pendeklah kaki belakangnya. Adapun rupanya seakan-akan kuda dan rendah sedikit daripada kuda, tersangat cepat perjalanannya seperti kilat, MasyaAllah, Allahu Akbar!!!

Ini juga contoh bagi kita umat Islam. Mengapakah Nabi s.a.w diperjalankan dari Mekah ke Baitul Mukaddis dengan menggunakan kenderaan? Bukankah Allah lebih berkuasa memperjalankan hambanya dengan tidak menggunakan kenderaan; bahkan dengan sekelip mata pun Allah berkuasa!!

Tiap2 sesuatu kejadian Allah .s.w.t ada manfaatnya kepada hambanya. Tujuannya yang pertama ialah kalaulah dengan sekelip mata dan tidak menggunakan kenderaan sudah tentu Nabi s.a.w tidak dapat diperlihatkan segala tanda2 kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t dengan sempurna.

Tujuan yang kedua ialah untuk menjadi iktibar kepada umatnya, sedangkan Nabi s.a.w, kekasih Allah s.w.t dari Mekah ke Baitul Mukaddis menggunakan kenderaan, apatah lagi kita sebagai umatnya; perjalanan yang sama2 kita maklumi yang akan kita tuju bersama sangatlah jauh dan sukar, tidak ada teman dan tidak boleh membawa bekalan dari dunia. Iaitu perpindahan dari dunia ke akhirat, dari itu hendaklah kita berusaha mencari bekalan sebagai kenderaan mulai dari sekarang. Bekalannya itu ialah amal2 saleh yang dikerjakan semasa hidup didunia. Amal yang beserta ilmu yang benar.

 

 

Maka berangkatlah Nabi s.a.w dengan menunggang Buraq beserta Jibril sehingga ke suatu tempat yang banyak pohon kurma, maka malaikat Jibril menyuruh Nabi s.a.w turun bersembahyang sunat 2 rakaat. Setelah selesai sembahyang, Jibril memberitahu Nabi s.a.w nama tempat itu ialah kota Taiyibah atau Yathrib (Madinah) tempat Rasulullah s.a.w akan berhijrah ( berpindah).

Kemudian berangkatlah lagi Nabi s.a.w beserta Jibril dengan kenderaan Buraq sehingga sampai disuatu tempat yang bernama Madyan tempat Nabi Musa berteduh. Disini juga Nabi s.a.w  disuruh turun dari Buraq dan bersembahyang sunat 2 rakaat dan Jibril memberitahu Nabi s.a.w nama tempat itu kerana Nabi s.a.w belum pernah sampai ke situ.

Kemudian Nabi s.a.w berangkat lagi beserta Jibril dengan menunggani Buraq sehingga sampai ke bukit Tursinah (tempat Nabi Musa bermunajat). Jibril menyuruh Nabi s.a.w turun dari kenderaan dan bersembahyang 2 rakaat, tempat ini juga diberitahu Jibril namanya.

Kemudian berangkat lagi Nabi s.a.w beserta Jibril sehingga sampai ke suatu tempat dan disuruhnya akan Nabi s.a.w supaya turun dan mengerjakan sembahyang lagi sebanyak 2 rakaat serta diberitahu kepada Nabi s.a.w nama tempat bersejarah itu ialah Baitul Laham yaini tempat Nabi Isa diperanakkan.

Kini sudah 4 kali Nabi s.a.w disuruh turun untuk mengerjakan sembahyang pada tempat2 yang bersejarah dan tempat yang akhir (kelima) Nabi s.a.w akan disuruh bersembahyang ialah di Baitul Mukaddis. Ini adalah menunjukkan akan fardhu sembahyang yang akan diterima oleh Nabi s.a.w dalam Mi’rajnya.

Satu contoh dan tauladan yang patut diambil wahai saudara2ku sedangkan dalam masa yang singkat hendak bertemu dengan Allah s.w.t Nabi s.a.w patuh dengan suruhan Jibril untuk mengerjakan perintah sembahyang walaupun dalam perjalanan yang sangat jauh.

Dari itu janganlah kita cuaikan kewajipan sembahyang sedangkan dizaman kita sudah banyak kemudahan. Sepatutnya kemudahan yang didapati dizaman yang akhir ini hendaklah lebih menggiatkan kita lagi dalam bidang amal yang baik untuk kepentingan kita.

Kemudian berangkatlah lagi Nabi s.a.w beserta Jibril, dalam perjalanan ini Nabi s.a.w melihat Jin Afrit dengan membawa api mengikut Nabi s.a.w dalam perjalanan. Maka diajarkan oleh Jibril kepada Nabi s.a.w satu doa. Apabila dibaca doa itu oleh Nabi s.a.w Jin Afrit itu pun binasalah.

Perhatian :

Nabi s.a.w dalam jemputan Allah s.w.t dengan ditemani oleh Jibril dalam perjalanan itu, namun ada juga yang hendak menghalangi perjalanan Nabi s.a.w. Maka haruslah berwaspada wahai umat Muhammad s.a.w. tiap2 amal yang baik yang hendak menuju kepada Allah s.w.t akan selalu saja menemui rintangan dan halangan. maka untuk mengelakkannya janganlah lupa dan janganlah jemu untuk meminta pertolongan Allah s.w.t didalam segala pekerjaan.

Hanya Allah s.w.t sahaja yang berkuasa diatas segala makhluknya. Membuat apa sahaja yang dikehendaki dengan tidak ada sesiapa yang boleh menghalangi segala kehendak Allah s.w.t. Kuatkanlah kepercayaan kepada Allah s.w.t dengan memperdalami Ilmu Tauhid. janganlah lemah menghadapi segala pancaroba dunia yang sementara dan yang akan berakhir adanya.

Inilah doa yang diajar oleh malaikat Jibril kepada Nabi s.a.w yang boleh juga menjadi amalan kepada kita lebih2 lagi dalam masa ketakutan, yang maksudnya :

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, aku berlindung kepada Allah yang Maha Mulia, dan dengan firman2nya yang cukup sempurna yang tidak boleh dirosakkan oleh orang2 yang saleh atau orang2 yang jahat, daripada kejahatan yang turun dari langit, dan daripada kejahatan yang naik padanya dan daripada kejahatan makhluk yang melata dibumi, dan daripada kejahatan yang keluar daripadanya, dan daripada fitnah malam dan siang, melainkan yang datang membawa kebaikan, perkenankanlah wahai Tuhan yang Pemurah.

 

Setelah itu Nabi s.a.w berjalan lagi hingga berjumpa satu kaum yang sedang menanam dan dengan seketika itu juga tumbuh dan berbuah dan pada waktu itu juga menuai kemudian berbuah lagi dengan tidak berhenti-hentinya. Nabi s.a.w bertanya, “Siapa itu wahai Jibril?”

Jawab Jibril, “Itulah perumpamaan umatmu yang berjihad akan hartanya pada Fi Sabilillah. (Pada menegakkan dan mempertinggikan ugama Allah dengan hartanya).

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud :

“Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, adalah serupa dengan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap satu tangkai mengandungi seratus biji lagi, dan Allah menggandakan lagi bagi sesiapa yang dikehendaki dan Allah maha luas kurnianya lagi maha mengetahui.”

Dan firmannya lagi dalam Surah Assaf, ayat 10 hingga 12 yang bermaksud :

“Wahai orang2 yang beriman! Sukakah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah da Rasulnya dan berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. Jika kamu berbuat demikian Allah akan mengampuni dosa2 kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai2, dan memasukkan kamu ke tempat tinggal yang baik didalam Syurga ‘Aden’, itulah kemenangan yang besar.”

 

Seterusnya sedang Nabi s.a.w dalam perjalanan Isra’nya terciumlah Nabi s.a.w akan bau yang harum. Bertanya Nabi s.a.w, “Bau apakah itu ya Jibril?”

Jawab Jibril, “Itulah bau kuburnya Masyitah, tukang sisir rambut anak Firaun. Tatkala terjatuh sikatnya maka berkatalah Masyitah, “Dengan nama Allah celakalah Firaun.” Maka terdengarlah anak Firaun akan ucapan Masyitah itu lantas diadukan kepada ayahnya (Firaun).

Maka Masyitah pun ditanya oleh Firaun, ” Benarkah engkau bertuhankan selain dari aku?”

Jawab Masyitah, “Benar, saya dan tuanku bertuhankan Allah yang satu.”

Kata Firaun, “Mahukah engkau menarik balik perkataan engkau itu?”

Jawab Masyitah, “Tidak.”

Walaupun dipujuk oleh Firaun, Masyitah tetap enggan mengaku yang Firaun sebagai Tuhan, lalu Firaun mengambil keputusan iaitu Masyitah beserta suaminya dan dua orang anaknya dihukum bunuh. Walaupun demikian Masyitah tetap teguh pada pendiriannya, hanya satu sahaja yang dipintanya kepada firaun iaitu ia sekeluarga hendaklah ditanamkan pada satu lubang kubur.

Maka Firaun pun memerintahkan supaya menjerang kawah yang diisi air. Apabila air itu mendidih dimasukkanlah suami Masyitah dan anaknya yang besar. Ketika tiba giliran anaknya yang kecil yang masih menyusu, tiba-tiba anak itu berkata, “Hai ibuku janganlah lengah lagi, jatuhkanlah dirimu ke dalam kawah itu. Bahawa engkau adalah didalam ugama yang benar.” Maka Masyitah beserta anaknya pun menjatuhkan dirinya ke dalam kawah.

Mengikut keterangan ulama’ ada sepuluh kanak2 yang boleh berkata-kata sebelum sampai masanya untuk bercakap iaitu :

  1. Nabi Muhammad s.a.w
  2. Nabi Yahya a.s
  3. Nabi Isa a.s
  4. Nabi Ibrahim a.s
  5. Siti Mariam
  6. Anak kecil yang menjadi saksi diatas kebenaran Nabi Yusuff a.s
  7. Anak kecil yang menjadi saksi diatas kebenaran Juraij.
  8. Anak kecil yang menjadi saksi diatas kebenaran Nabi Muhammad s.a.w yang dinamakan Mubarak.
  9. Anaknya Masyitah
  10. Anak kecil yang membenarkan Ugama Allah s.w.t pada zaman seorang Raja yang zalim.

 

Kemudian dalam perjalanan seterusnya Nabi s.a.w berjumpa satu kaum yang memukul-mukul kepalanya dengan batu sehingga pecah-pecah. Setelah pecah kembali kepala itu seperti sediakala. Kemudian dipukul lagi. Demikianlah seterusnya dengan tidak ada berhenti. Bertanya Nabi s.a.w kepada Jibril, “Siapakah itu ya Jibril?”

Jawab Jibril,”Mereka itu ialah yang berat kepalanya untuk bersembahyang.”

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Ankabut, ayat 45 yang bermaksud :

“Dan dirikanlah sembahyang bahawa sembahyang itu mencegah daripada perkara-perkara yang keji dan maksiat.”

Dan firman Allah s.w.t lagi didalam Surah Al A’la ayat 14-15 yang maksudnya :

“Sesungguhnya dapat kemenangan bagi orang-orang yang membersihkan dirinya (daripada menyekutukan Allah) dan mengingati nama Tuhannya maka dirikanlah sembahyang.”

Kemudian seterusnya Nabi s.a.w berjumpa satu kaum yang tidak berpakaian, hanya pakaian yang menutup kemaluannya saja, dengan memakan buah Zakum yang sangat pahit dan bara neraka.

Bertanya Nabi s.a.w, “Siapakah mereka itu ya JIbril?”

Jawab Jibril,”Mereka itulah manusia2 yang tidak mengeluarkan zakat, yang lokek untuk membelanjakan hartanya pada jalan Allah s.w.t.”

Firman Allah didalam Surah Al Imran, ayat 117 maksudnya :

“Dan tidaklah Allah menganiayai mereka itu akan tetapi merekalah yang menganiayai diri mereka sendiri.”

Sesudah itu Nabi s.a.w melihat satu kaum yang menghadapi daging yang masak dan wangi dan juga menghadapi daging yang mentah dan busuk. Maka daging yang busuk yang dimakannya, sedangkan daging yang baik ditinggalkannya.

Bertanya Nabi s.a.w. “Siapakah mereka itu ya Jibril?”

Jawab Jibril, “Mereka itu ialah manusia-manusia yang mempunyai isteri yang halal ditinggalkannya, lalu dicari perempuan yang haram ( suka berzina walaupun mempunyai isteri yang halal).”

Demikian juga sebaliknya pada wanita yang mempunyai suami yang halal dicarinya lelaki yang lain. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh Allah s.w.t sebagaimana firmannya didalam Surah Al Isra’ ayat 32 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang sangat keji dan sejahat-jahat jalan.”

Kemudian berjalanlah Nabi s.a.w lagi tiba-tiba terlihat oleh Nabi s.a.w pohon-pohon kayu yang melintang di jalan. Sesiapa yang merintasinya nescaya mengoyakkan badannya.

Bertanya Nabi s.a.w, “Apakah ini ya Jibril?”

Jawab Jibril, ” Ini adalah ibarat daripada umatmu yang suka duduk ditepi jalan dan mengganggu orang yang sedang berjalan dengan merosakkan harta bendanya atau dirinya.”

Firman Allah s.w.t didalam surah Al A’raf ayat 86 maksudnya :

“Janganlah kamu suka duduk ditepi jalan mengganggu orang yang lalu lintas.”

Selepas itu Nabi s.a.w melihat orang yang sedang berenang dalam sungai darah sambil mengolom bara neraka dimulutnya dan dilempari dengan batu.

Nabi s.a.w bertanya, “Siapakah mereka itu Jibril?”

Jawab Jibril, “Itulah orang yang makan riba.”

Firman Allah s.w.t didalam Surah Al Baqarah, ayat 278 maksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Tinggalkan olehmu barang yang baki daripada riba jika adalah kamu beriman.”

Dan firmannya lagi dalam Surah Al Baqarah, ayat 276 maksudnya :

“Allah memusnahkan berkat daripada riba dan menambahkan berkat pada sedekah.”

 

Kemudian nabi s.a.w berjalan lagi lalu Nabi s.a.w melihat akan seorang lelaki yang mengumpulkan kayu sebanyak-banyaknya dan cuba mengangkatnya. Apabila hendak diangkatnya tidak boleh. Maka ditambahkan lagi, begitulah seterusnya.

Bertanya Nabi s.a.w, “Siapakah mereka itu ya Jibril?”

Jawab Jibril, “Mereka itu ialah orang-orang yang ada padanya amanah tidak ditunaikannya maka ia menyanggupi lagi.”

Firman Allah s.w.t didalam Surah An Nisa, ayat 58 bermaksud :

“Bahawasanya Allah menyuruh kamu bahawa kamu tunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.”

Setelah itu Nabi s.a.w berjumpa satu kaum yang menggunting lidah dan bibirnya, setiap kali digunting, kembali semula kemudian digunting semula begitulah seterusnya.

Bertanya Nabi s.a.w, “Siapakah mereka itu  yang begitu dahsyat rupanya ya Jibril?”

Jawab Jibril, “Mereka itu ialah orang-orang yang pandai berkata-kata tetapi tidak mengotakan segala apa yang dikatakannya dan juga ahli fitnah.”

Firman Allah s.w.t didalam Surah As Saf, ayat 2-3 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bagaimananakah kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu berkata barang yang tidak kamu perbuat.”

Dan didalam Surah Al Baqarah, ayat 191 yang bermaksud :

“Dan fitnah itu lebih merbahaya daripada membunuh.”

Kemudian dalam perjalanan seterusnya Nabi s.a.w berjumpa satu kaum yang mempunyai kuku yang panjang daripada tembaga. Mereka itu mencakar-cakar muka dan dada mereka dengan kuku-kuku yang panjang itu.

Bertanya Nabi s.a.w kepada Jibril, “Siapakah mereka itu ya JIbril?”

Jawab Jibril, “Mereka itu ialah manusia-manusia yang memakan daging saudaranya yang telah mati (mengumpat) pembuka keaiban orang.

Firman Allah s.w.t didalam Surah Al Hujarat, ayat 12 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu mengumpat sebahagian kamu. Akan sebahagian yang lain!. Adakah suka kamu memakan daging saudara kamu padahal keadaannya telah mati maka sudah tentu kamu benci.”

Setelah itu Nabi s.a.w melihat akan seekor lembu yang berbadan besar keluar dari lubang yang sempit. Setelah bersusah payah untuk keluar lalu hendak masuk kembali ke dalam lubang yang sempit itu. Melihat hal ini Nabi s.a.w bertanya, “Siapa mereka ya Jibril?”

Jawab Jibril, “Itulah perumpamaan orang yang bercakap besar. Bercakap tanpa berfikir, sesudah berkata menyesal, hendak menarik kembali tidak boleh.”

Firman Allah s.w.t didalam Surah Luqman, ayat 18 maksudnya :

“Dan janganlah memalingkan muka kamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan dimuka bumi ini dengan angkuh!”

Setelah itu dalam perjalanan seterusnya Nabi s.a.w mendengar satu seruan. Nabi s.a.w tidak menjawab akan seruan itu, lalu Nabi s.a.w bertanya kepada malaikat Jibril “Seruan siapakah itu ya Jibril?”

Jawab Jibril “Itulah seruan pihak Yahudi. Jikalau Tuan menjawabnya nescaya ramai dari umat Tuan yang akan menjadi Yahudi.”

Kemudian Nabi s.a.w berjalan lagi tiba-tiba terdengar satu seruan lagi oleh Nabi s.a.w tapi tidak juga dijawabnya. Kemudian bertanya Nabi s.a.w kepada JIbril, “Suara siapakah itu?”

Jawab Jibril, “Itulah panggilan dari pihak Nasrani, jikalau Tuan menjawabnya nescaya banyaklah pengikut Tuan yang akan menjadi Nasrani.”

Kemudian sedang Nabi s.a.w meneruskan perjalanannya, Nabi s.a.w terdengar satu suara perempuan memanggil namanya. Itu juga tidak dijawab oleh Nabi s.a.w, lalu Jibril pun memberitahu kepada Nabi s.a.w,”Itulah seruan daripada dunia. Jikalau Tuan menyahutnya maka ramai bilangan umat Tuan yang akan memilih dunia dari akhirat.”

Dalam perjalanan seterusnya Nabi s.a.w terdengar lagi satu seruan meminta Nabi s.a.w berhenti kerana hendak mengemukakan satu pertanyaan. Itupun tidak dijawab oleh Nabi s.a.w bahkan Jibril menganjurkan supaya Nabi s.a.w mempercepatkan perjalanannya dan Jibril memberitahu itu adalah panggilan Iblis (seteru Allah).

Kemudian sedang Nabi s.a.w meneruskan perjalanannya tiba-tiba Nabi s.a.w terlihat seorang perempuan yang tersangat tua juga memanggil-manggil nama Nabi s.a.w. Itu pun tidak dijawab bahkan meneruskan perjalanannya. Bertanya Nabi s.a.w “Siapakah perempuan itu ya Jibril?”

Jawab Jibril, “Itulah perumpamaan umur dunia, bahawa tidak panjang lagi umur dunia ini melainkan sekadar umur perempuan itu.”

Setelah itu sampailah Nabi s.a.w ke Masjidil Aqsa (Baitul Mukaddis) maka Nabi s.a.w pun bersembahyanglah dua rakaat serta menjadi Imam kepada semua para Nabi dan Rasul. Sesudah itu Nabi s.a.w pun memuji Allah s.w.t dengan kata-katanya yang bermaksud :

“Segala puji bagi Allah yang telah mengutuskan aku untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam dan kepada sekelian manusia, aku membawa khabar gembira dan duka. Dan diturunkan kepadaku AlQuran untuk menerangkan tiap-tiap sesuatu. Dan telah menjadikan umatku sebaik-baik umat yang dipilih diantara manusia, umat yang pertengahan, umat yang awal (untuk dihisab) dan umat yang akhir (kedunia). Dan aku bersyukur kepada Allah yang telah melapangkan dadaku dan yang telah mengampunkan dosa-dosaku dan yang telah mengangkat aku sebagai Nabi pembuka (Diakhirat) dan penutup (Didunia).

Lalu Nabi Ibrahim pun menyahut ucapan itu dengan berkata, “Dengan inilah kelebihan engkau ya Muhammad kepada kami sekelian.”

Maka sebelum Nabi s.a.w di Mi’rajkan, Nabi s.a.w telah diberi tiga jenis minuman iaitu:

  1. Arak
  2. Susu
  3. Air

Maka Nabi s.a.w memilih susu dan meminumnya. Dengan pilihan itu Nabi s.a.w telah dipuji oleh Jibril sebagai pilihan yang baik. Dan sebelum Nabi di Mi’rajkan (naik ke langit) disebelah kiri batu besar di Baitul Mukaddis Nabi s.a.w telah diperlihatkan beberapa Bidadari yang cantik-cantik, lalu Nabi s.a.w memberi salam kepada mereka dan bertanya kepada mereka dengan berbagai pertanyaan. Maka dijawabnya dengan jawapan yang menyenangkan hati. Dan bidadari-bidadari itu berkata bahawa mereka adalah untuk orang-orang yang suci daripada dosa ( menjadi isteri kepada lelaki yang bersih dari dosa.) Setelah itu didatangkan kepada Rasulullah s.a.w akan tangga Mi’raj.

 

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.