Pengertian Isra’ (Bhgn 2)
July 20, 2008
Maka berangkatlah Nabi s.a.w dengan menunggang Buraq beserta Jibril sehingga ke suatu tempat yang banyak pohon kurma, maka malaikat Jibril menyuruh Nabi s.a.w turun bersembahyang sunat 2 rakaat. Setelah selesai sembahyang, Jibril memberitahu Nabi s.a.w nama tempat itu ialah kota Taiyibah atau Yathrib (Madinah) tempat Rasulullah s.a.w akan berhijrah ( berpindah).
Kemudian berangkatlah lagi Nabi s.a.w beserta Jibril dengan kenderaan Buraq sehingga sampai disuatu tempat yang bernama Madyan tempat Nabi Musa berteduh. Disini juga Nabi s.a.w disuruh turun dari Buraq dan bersembahyang sunat 2 rakaat dan Jibril memberitahu Nabi s.a.w nama tempat itu kerana Nabi s.a.w belum pernah sampai ke situ.
Kemudian Nabi s.a.w berangkat lagi beserta Jibril dengan menunggani Buraq sehingga sampai ke bukit Tursinah (tempat Nabi Musa bermunajat). Jibril menyuruh Nabi s.a.w turun dari kenderaan dan bersembahyang 2 rakaat, tempat ini juga diberitahu Jibril namanya.
Kemudian berangkat lagi Nabi s.a.w beserta Jibril sehingga sampai ke suatu tempat dan disuruhnya akan Nabi s.a.w supaya turun dan mengerjakan sembahyang lagi sebanyak 2 rakaat serta diberitahu kepada Nabi s.a.w nama tempat bersejarah itu ialah Baitul Laham yaini tempat Nabi Isa diperanakkan.
Kini sudah 4 kali Nabi s.a.w disuruh turun untuk mengerjakan sembahyang pada tempat2 yang bersejarah dan tempat yang akhir (kelima) Nabi s.a.w akan disuruh bersembahyang ialah di Baitul Mukaddis. Ini adalah menunjukkan akan fardhu sembahyang yang akan diterima oleh Nabi s.a.w dalam Mi’rajnya.
Satu contoh dan tauladan yang patut diambil wahai saudara2ku sedangkan dalam masa yang singkat hendak bertemu dengan Allah s.w.t Nabi s.a.w patuh dengan suruhan Jibril untuk mengerjakan perintah sembahyang walaupun dalam perjalanan yang sangat jauh.
Dari itu janganlah kita cuaikan kewajipan sembahyang sedangkan dizaman kita sudah banyak kemudahan. Sepatutnya kemudahan yang didapati dizaman yang akhir ini hendaklah lebih menggiatkan kita lagi dalam bidang amal yang baik untuk kepentingan kita.
Kemudian berangkatlah lagi Nabi s.a.w beserta Jibril, dalam perjalanan ini Nabi s.a.w melihat Jin Afrit dengan membawa api mengikut Nabi s.a.w dalam perjalanan. Maka diajarkan oleh Jibril kepada Nabi s.a.w satu doa. Apabila dibaca doa itu oleh Nabi s.a.w Jin Afrit itu pun binasalah.
Perhatian :
Nabi s.a.w dalam jemputan Allah s.w.t dengan ditemani oleh Jibril dalam perjalanan itu, namun ada juga yang hendak menghalangi perjalanan Nabi s.a.w. Maka haruslah berwaspada wahai umat Muhammad s.a.w. tiap2 amal yang baik yang hendak menuju kepada Allah s.w.t akan selalu saja menemui rintangan dan halangan. maka untuk mengelakkannya janganlah lupa dan janganlah jemu untuk meminta pertolongan Allah s.w.t didalam segala pekerjaan.
Hanya Allah s.w.t sahaja yang berkuasa diatas segala makhluknya. Membuat apa sahaja yang dikehendaki dengan tidak ada sesiapa yang boleh menghalangi segala kehendak Allah s.w.t. Kuatkanlah kepercayaan kepada Allah s.w.t dengan memperdalami Ilmu Tauhid. janganlah lemah menghadapi segala pancaroba dunia yang sementara dan yang akan berakhir adanya.
Inilah doa yang diajar oleh malaikat Jibril kepada Nabi s.a.w yang boleh juga menjadi amalan kepada kita lebih2 lagi dalam masa ketakutan, yang maksudnya :
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, aku berlindung kepada Allah yang Maha Mulia, dan dengan firman2nya yang cukup sempurna yang tidak boleh dirosakkan oleh orang2 yang saleh atau orang2 yang jahat, daripada kejahatan yang turun dari langit, dan daripada kejahatan yang naik padanya dan daripada kejahatan makhluk yang melata dibumi, dan daripada kejahatan yang keluar daripadanya, dan daripada fitnah malam dan siang, melainkan yang datang membawa kebaikan, perkenankanlah wahai Tuhan yang Pemurah.