Pengertian Isra’ (Bhgn 3)
July 20, 2008
Setelah itu Nabi s.a.w berjalan lagi hingga berjumpa satu kaum yang sedang menanam dan dengan seketika itu juga tumbuh dan berbuah dan pada waktu itu juga menuai kemudian berbuah lagi dengan tidak berhenti-hentinya. Nabi s.a.w bertanya, “Siapa itu wahai Jibril?”
Jawab Jibril, “Itulah perumpamaan umatmu yang berjihad akan hartanya pada Fi Sabilillah. (Pada menegakkan dan mempertinggikan ugama Allah dengan hartanya).
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud :
“Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, adalah serupa dengan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap satu tangkai mengandungi seratus biji lagi, dan Allah menggandakan lagi bagi sesiapa yang dikehendaki dan Allah maha luas kurnianya lagi maha mengetahui.”
Dan firmannya lagi dalam Surah Assaf, ayat 10 hingga 12 yang bermaksud :
“Wahai orang2 yang beriman! Sukakah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah da Rasulnya dan berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. Jika kamu berbuat demikian Allah akan mengampuni dosa2 kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai2, dan memasukkan kamu ke tempat tinggal yang baik didalam Syurga ‘Aden’, itulah kemenangan yang besar.”