Pengertian Isra’ (Bhgn 4)
July 20, 2008
Seterusnya sedang Nabi s.a.w dalam perjalanan Isra’nya terciumlah Nabi s.a.w akan bau yang harum. Bertanya Nabi s.a.w, “Bau apakah itu ya Jibril?”
Jawab Jibril, “Itulah bau kuburnya Masyitah, tukang sisir rambut anak Firaun. Tatkala terjatuh sikatnya maka berkatalah Masyitah, “Dengan nama Allah celakalah Firaun.” Maka terdengarlah anak Firaun akan ucapan Masyitah itu lantas diadukan kepada ayahnya (Firaun).
Maka Masyitah pun ditanya oleh Firaun, ” Benarkah engkau bertuhankan selain dari aku?”
Jawab Masyitah, “Benar, saya dan tuanku bertuhankan Allah yang satu.”
Kata Firaun, “Mahukah engkau menarik balik perkataan engkau itu?”
Jawab Masyitah, “Tidak.”
Walaupun dipujuk oleh Firaun, Masyitah tetap enggan mengaku yang Firaun sebagai Tuhan, lalu Firaun mengambil keputusan iaitu Masyitah beserta suaminya dan dua orang anaknya dihukum bunuh. Walaupun demikian Masyitah tetap teguh pada pendiriannya, hanya satu sahaja yang dipintanya kepada firaun iaitu ia sekeluarga hendaklah ditanamkan pada satu lubang kubur.
Maka Firaun pun memerintahkan supaya menjerang kawah yang diisi air. Apabila air itu mendidih dimasukkanlah suami Masyitah dan anaknya yang besar. Ketika tiba giliran anaknya yang kecil yang masih menyusu, tiba-tiba anak itu berkata, “Hai ibuku janganlah lengah lagi, jatuhkanlah dirimu ke dalam kawah itu. Bahawa engkau adalah didalam ugama yang benar.” Maka Masyitah beserta anaknya pun menjatuhkan dirinya ke dalam kawah.
Mengikut keterangan ulama’ ada sepuluh kanak2 yang boleh berkata-kata sebelum sampai masanya untuk bercakap iaitu :
- Nabi Muhammad s.a.w
- Nabi Yahya a.s
- Nabi Isa a.s
- Nabi Ibrahim a.s
- Siti Mariam
- Anak kecil yang menjadi saksi diatas kebenaran Nabi Yusuff a.s
- Anak kecil yang menjadi saksi diatas kebenaran Juraij.
- Anak kecil yang menjadi saksi diatas kebenaran Nabi Muhammad s.a.w yang dinamakan Mubarak.
- Anaknya Masyitah
- Anak kecil yang membenarkan Ugama Allah s.w.t pada zaman seorang Raja yang zalim.