Pengertian Isra’ (Bhgn 5)
July 20, 2008
Kemudian dalam perjalanan seterusnya Nabi s.a.w berjumpa satu kaum yang memukul-mukul kepalanya dengan batu sehingga pecah-pecah. Setelah pecah kembali kepala itu seperti sediakala. Kemudian dipukul lagi. Demikianlah seterusnya dengan tidak ada berhenti. Bertanya Nabi s.a.w kepada Jibril, “Siapakah itu ya Jibril?”
Jawab Jibril,”Mereka itu ialah yang berat kepalanya untuk bersembahyang.”
Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Ankabut, ayat 45 yang bermaksud :
“Dan dirikanlah sembahyang bahawa sembahyang itu mencegah daripada perkara-perkara yang keji dan maksiat.”
Dan firman Allah s.w.t lagi didalam Surah Al A’la ayat 14-15 yang maksudnya :
“Sesungguhnya dapat kemenangan bagi orang-orang yang membersihkan dirinya (daripada menyekutukan Allah) dan mengingati nama Tuhannya maka dirikanlah sembahyang.”
Kemudian seterusnya Nabi s.a.w berjumpa satu kaum yang tidak berpakaian, hanya pakaian yang menutup kemaluannya saja, dengan memakan buah Zakum yang sangat pahit dan bara neraka.
Bertanya Nabi s.a.w, “Siapakah mereka itu ya JIbril?”
Jawab Jibril,”Mereka itulah manusia2 yang tidak mengeluarkan zakat, yang lokek untuk membelanjakan hartanya pada jalan Allah s.w.t.”
Firman Allah didalam Surah Al Imran, ayat 117 maksudnya :
“Dan tidaklah Allah menganiayai mereka itu akan tetapi merekalah yang menganiayai diri mereka sendiri.”
Sesudah itu Nabi s.a.w melihat satu kaum yang menghadapi daging yang masak dan wangi dan juga menghadapi daging yang mentah dan busuk. Maka daging yang busuk yang dimakannya, sedangkan daging yang baik ditinggalkannya.
Bertanya Nabi s.a.w. “Siapakah mereka itu ya Jibril?”
Jawab Jibril, “Mereka itu ialah manusia-manusia yang mempunyai isteri yang halal ditinggalkannya, lalu dicari perempuan yang haram ( suka berzina walaupun mempunyai isteri yang halal).”
Demikian juga sebaliknya pada wanita yang mempunyai suami yang halal dicarinya lelaki yang lain. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh Allah s.w.t sebagaimana firmannya didalam Surah Al Isra’ ayat 32 yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang sangat keji dan sejahat-jahat jalan.”
Kemudian berjalanlah Nabi s.a.w lagi tiba-tiba terlihat oleh Nabi s.a.w pohon-pohon kayu yang melintang di jalan. Sesiapa yang merintasinya nescaya mengoyakkan badannya.
Bertanya Nabi s.a.w, “Apakah ini ya Jibril?”
Jawab Jibril, ” Ini adalah ibarat daripada umatmu yang suka duduk ditepi jalan dan mengganggu orang yang sedang berjalan dengan merosakkan harta bendanya atau dirinya.”
Firman Allah s.w.t didalam surah Al A’raf ayat 86 maksudnya :
“Janganlah kamu suka duduk ditepi jalan mengganggu orang yang lalu lintas.”
Selepas itu Nabi s.a.w melihat orang yang sedang berenang dalam sungai darah sambil mengolom bara neraka dimulutnya dan dilempari dengan batu.
Nabi s.a.w bertanya, “Siapakah mereka itu Jibril?”
Jawab Jibril, “Itulah orang yang makan riba.”
Firman Allah s.w.t didalam Surah Al Baqarah, ayat 278 maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Tinggalkan olehmu barang yang baki daripada riba jika adalah kamu beriman.”
Dan firmannya lagi dalam Surah Al Baqarah, ayat 276 maksudnya :
“Allah memusnahkan berkat daripada riba dan menambahkan berkat pada sedekah.”