Pengertian Isra’ (Bhgn 6)
July 20, 2008
Kemudian nabi s.a.w berjalan lagi lalu Nabi s.a.w melihat akan seorang lelaki yang mengumpulkan kayu sebanyak-banyaknya dan cuba mengangkatnya. Apabila hendak diangkatnya tidak boleh. Maka ditambahkan lagi, begitulah seterusnya.
Bertanya Nabi s.a.w, “Siapakah mereka itu ya Jibril?”
Jawab Jibril, “Mereka itu ialah orang-orang yang ada padanya amanah tidak ditunaikannya maka ia menyanggupi lagi.”
Firman Allah s.w.t didalam Surah An Nisa, ayat 58 bermaksud :
“Bahawasanya Allah menyuruh kamu bahawa kamu tunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.”
Setelah itu Nabi s.a.w berjumpa satu kaum yang menggunting lidah dan bibirnya, setiap kali digunting, kembali semula kemudian digunting semula begitulah seterusnya.
Bertanya Nabi s.a.w, “Siapakah mereka itu yang begitu dahsyat rupanya ya Jibril?”
Jawab Jibril, “Mereka itu ialah orang-orang yang pandai berkata-kata tetapi tidak mengotakan segala apa yang dikatakannya dan juga ahli fitnah.”
Firman Allah s.w.t didalam Surah As Saf, ayat 2-3 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bagaimananakah kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu berkata barang yang tidak kamu perbuat.”
Dan didalam Surah Al Baqarah, ayat 191 yang bermaksud :
“Dan fitnah itu lebih merbahaya daripada membunuh.”
Kemudian dalam perjalanan seterusnya Nabi s.a.w berjumpa satu kaum yang mempunyai kuku yang panjang daripada tembaga. Mereka itu mencakar-cakar muka dan dada mereka dengan kuku-kuku yang panjang itu.
Bertanya Nabi s.a.w kepada Jibril, “Siapakah mereka itu ya JIbril?”
Jawab Jibril, “Mereka itu ialah manusia-manusia yang memakan daging saudaranya yang telah mati (mengumpat) pembuka keaiban orang.
Firman Allah s.w.t didalam Surah Al Hujarat, ayat 12 yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu mengumpat sebahagian kamu. Akan sebahagian yang lain!. Adakah suka kamu memakan daging saudara kamu padahal keadaannya telah mati maka sudah tentu kamu benci.”
Setelah itu Nabi s.a.w melihat akan seekor lembu yang berbadan besar keluar dari lubang yang sempit. Setelah bersusah payah untuk keluar lalu hendak masuk kembali ke dalam lubang yang sempit itu. Melihat hal ini Nabi s.a.w bertanya, “Siapa mereka ya Jibril?”
Jawab Jibril, “Itulah perumpamaan orang yang bercakap besar. Bercakap tanpa berfikir, sesudah berkata menyesal, hendak menarik kembali tidak boleh.”
Firman Allah s.w.t didalam Surah Luqman, ayat 18 maksudnya :
“Dan janganlah memalingkan muka kamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan dimuka bumi ini dengan angkuh!”
Setelah itu dalam perjalanan seterusnya Nabi s.a.w mendengar satu seruan. Nabi s.a.w tidak menjawab akan seruan itu, lalu Nabi s.a.w bertanya kepada malaikat Jibril “Seruan siapakah itu ya Jibril?”
Jawab Jibril “Itulah seruan pihak Yahudi. Jikalau Tuan menjawabnya nescaya ramai dari umat Tuan yang akan menjadi Yahudi.”
Kemudian Nabi s.a.w berjalan lagi tiba-tiba terdengar satu seruan lagi oleh Nabi s.a.w tapi tidak juga dijawabnya. Kemudian bertanya Nabi s.a.w kepada JIbril, “Suara siapakah itu?”
Jawab Jibril, “Itulah panggilan dari pihak Nasrani, jikalau Tuan menjawabnya nescaya banyaklah pengikut Tuan yang akan menjadi Nasrani.”
Kemudian sedang Nabi s.a.w meneruskan perjalanannya, Nabi s.a.w terdengar satu suara perempuan memanggil namanya. Itu juga tidak dijawab oleh Nabi s.a.w, lalu Jibril pun memberitahu kepada Nabi s.a.w,”Itulah seruan daripada dunia. Jikalau Tuan menyahutnya maka ramai bilangan umat Tuan yang akan memilih dunia dari akhirat.”
Dalam perjalanan seterusnya Nabi s.a.w terdengar lagi satu seruan meminta Nabi s.a.w berhenti kerana hendak mengemukakan satu pertanyaan. Itupun tidak dijawab oleh Nabi s.a.w bahkan Jibril menganjurkan supaya Nabi s.a.w mempercepatkan perjalanannya dan Jibril memberitahu itu adalah panggilan Iblis (seteru Allah).
Kemudian sedang Nabi s.a.w meneruskan perjalanannya tiba-tiba Nabi s.a.w terlihat seorang perempuan yang tersangat tua juga memanggil-manggil nama Nabi s.a.w. Itu pun tidak dijawab bahkan meneruskan perjalanannya. Bertanya Nabi s.a.w “Siapakah perempuan itu ya Jibril?”
Jawab Jibril, “Itulah perumpamaan umur dunia, bahawa tidak panjang lagi umur dunia ini melainkan sekadar umur perempuan itu.”
Setelah itu sampailah Nabi s.a.w ke Masjidil Aqsa (Baitul Mukaddis) maka Nabi s.a.w pun bersembahyanglah dua rakaat serta menjadi Imam kepada semua para Nabi dan Rasul. Sesudah itu Nabi s.a.w pun memuji Allah s.w.t dengan kata-katanya yang bermaksud :
“Segala puji bagi Allah yang telah mengutuskan aku untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam dan kepada sekelian manusia, aku membawa khabar gembira dan duka. Dan diturunkan kepadaku AlQuran untuk menerangkan tiap-tiap sesuatu. Dan telah menjadikan umatku sebaik-baik umat yang dipilih diantara manusia, umat yang pertengahan, umat yang awal (untuk dihisab) dan umat yang akhir (kedunia). Dan aku bersyukur kepada Allah yang telah melapangkan dadaku dan yang telah mengampunkan dosa-dosaku dan yang telah mengangkat aku sebagai Nabi pembuka (Diakhirat) dan penutup (Didunia).
Lalu Nabi Ibrahim pun menyahut ucapan itu dengan berkata, “Dengan inilah kelebihan engkau ya Muhammad kepada kami sekelian.”
Maka sebelum Nabi s.a.w di Mi’rajkan, Nabi s.a.w telah diberi tiga jenis minuman iaitu:
- Arak
- Susu
- Air
Maka Nabi s.a.w memilih susu dan meminumnya. Dengan pilihan itu Nabi s.a.w telah dipuji oleh Jibril sebagai pilihan yang baik. Dan sebelum Nabi di Mi’rajkan (naik ke langit) disebelah kiri batu besar di Baitul Mukaddis Nabi s.a.w telah diperlihatkan beberapa Bidadari yang cantik-cantik, lalu Nabi s.a.w memberi salam kepada mereka dan bertanya kepada mereka dengan berbagai pertanyaan. Maka dijawabnya dengan jawapan yang menyenangkan hati. Dan bidadari-bidadari itu berkata bahawa mereka adalah untuk orang-orang yang suci daripada dosa ( menjadi isteri kepada lelaki yang bersih dari dosa.) Setelah itu didatangkan kepada Rasulullah s.a.w akan tangga Mi’raj.